Saturday, March 3, 2007

Naik basikal bersama ayahnda Yusuf Rawa lawat kawasan

Ustaz Mujahid Yusuf Rawa antara tokoh muda PAS yang baru ditonjolkan. Anak bongsu bekas Yang Dipertua Agung PAS ini, mempunyai perbagai cerita menarik untuk dikongsi. Ikuti sembang santai beliau dengan Mohd Sabri Said baru-baru ini.
(Harakah bil 132916-28 Februari 2007)

Latar belakang pendidikan
Pendidikan awal di Sekolah Rendah Kampung Jawa, Pulau Pinang kemudian ke Sekolah
Raja Tun Muda di Kuala Lumpur. Semasa mengikut ayahnda, Hj Yusuf Rawa sebagai Duta Malaysia di Iran, saya belajar di British International School. Alik ke Pulau Pinang, belajar di Penang Free School sehingga tingkatan enam.

Kemudian ke Universiti Amerika di Cairo (bidang bahasa), seterusnya Univesiti Al-Azhar. Saya ambil master di Univesiti Putra Malaysia (UPM) dalam sumber manusia dan sekarang menunggu keputusan PhD dalam bidang sama.

Anak bongsu, iaitu yang ke-11, enam perempuan dan lima lelaki. Isteri berasal dari Terengganu, anak tiga orang, dua perempuan dan seorang lelaki. Anak sulung di tingkatan empat, kedua tingkatan dua dan seorang lagi darjah lima.

Hobi
Membaca dalam suasana yang tenang terutamanya di waktu malam. Pernah tidak tidur sehingga pagi menatap buku yang menjadi tarikan. Saya pasti bawa buku ketika bermusafir. Pembacaan saya tidak tertakluk kepada buku agama, sebaliknya buku yang mencabar minda kerana isinya melebarkan pemikiran.

Tidak hairanlah di rumah peninggalan ayahanda di Gelugor ada perpustakaan kecil. Kemungkinan tabiat membaca tersemai dari sikap ayahanda yang dikatakan 'Ulat buku', setiap waktu lapang mesti ada buku di tangannya walaupun senaskhah akhbar.

Banyak koleksi buku peninggalan ayahanda masih tersimpan dan saya jadikan rujukan sebelum memulakan kuliah. Saya sendiri mengkategorikan buku yang ada seperti Arab, perubatan, Inggeris dan Melayu.

Satu lagi hobi yang masih menebal ialah menonton filem bercorak penyiasatan. Bagi saya ia melatih pemikiran supaya bersedia dalam sebarang tindakan. Bahkan, sekaligus ia mengajar kita bagaimana melakukan penyusunan sesuatu tugas dengan rapi sehingga boleh menyelesaikan masalah. Atau kata lain mengasah minda supaya lebih tajam.

Pengalaman Almarhum ayahanda

Maklumlah Saya anak ke-11, saya dan kakak iaitu Widad dan Ratna Huda sering ayahanda bawa ke mana sahaja ketika cuti sekolah. Saya juga pernah ikut ayahanda lawat kawasan ketika beliau menjadi Ahli Parlimen Kota Setar Selatan. Dia ambil kami petang Jumaat dan bawa naiki kereta berjumpa dengan orang kampung.

Kemudiannya berbasikal bersama orang kampung. Saya masih ingat lagi rasa seronok bila ada orang kayuh basikal dan saya diletakkan di bahagian belakang. Di waktu kecil masa saya habis dalam kereta sahaja kerana sering di bawa bersama sama ada bertugas atas nama parti atau kerajaan.

Peristiwa pahit yang tidak boleh lupa?

Ketika pemergian bonda, Hajjah Kalsum Ali yang meninggal pada 1997 dan kemudiannya Haji Yusuf Rawa pada tahun 2000, setelah melihat kembali kebangkitan PAS dalam pilihan raya ke-10.

Kerjaya selain politik?

Sekarang saya mengambil alih perniagaan daripada ayahanda dan sedang menguruskan perniagaan buku agama, kitab dan rujukan agama di Jalam Kampung Jawa, Bayan Baru. Saya pakai nama baru iaitu Safir Ilmu Enterprise agar lebih nampak kemodenan berbanding nama syarikat dulu Haji Abdullah Noodin Al-Rawi yang dibina sejak 1921.

Makanan kegemaran?

Nasi bukhari asli yang mempunyai resepi dari Arab. Ibu saya memang pandai memasak nasi bukhari dan masakan lain sehinggalah ia sempat menurunkan ilmu masakan itu pada isteri saya. Alhamdulillah, sewaktu bonda kurang sihat dan berkerusi roda beliau sering memberi tunjuk ajar kepada menantu-menantunya tentang masakan Arab asli ter-utama nasi bukhari.

Suka tolong isteri di dapur?

Walaupun kurang tolong isteri di dapur, namun bila ada masa lapang saya suka basuh pinggan, belangga, cuci dapur, kemas rumah, cuci bilik air atau jemur kain. Itulah cara hendak ucapkan terima kasih di samping meringankan tugasan isteri kesayangan, maklumlah saya sering keluar
rumah.

Tugas khusus dalam PAS

Saya dilantik menerajui Lujnah Perpaduan Nasional PAS Pusat. Perpaduan Nasional dalam konteks pendekatan strategi menggunakan Kelab Penyokong PAS. Mereka dapat melihat dasar kita dengan lebih dekat setelah menjadi ahli kelab dan merekalah jentera kita bila berdepan musuh politik. Di Negeri Sembilan kita berjaya menubuhkan Pusat Khidmat PAS di bawah kelolaan Kelab Penyokong PAS di sana.

No comments: