Wednesday, February 13, 2002

Gerakan Islam di Persimpangan

(Artikel ini ditulis ketika berada di Peshawar semasa mengetuai misi bantuan kemanusian PAS bagi pelarian Afghanistan)


Belum pernah dalam sejarah pertembungan Barat dengan Islam pada alaf baru ini berlaku satu gerakan ketenteraan Barat yang secara terang terangan mendakwa tindakan mereka ialah satu ?crusade? (perang salib). Belum pernah juga dalam sejarah kepimpinan sekular umat Islam, pemimpin pemimpin Islam di negara Islam menyatakan sokongan secara terbuka kepada polisi Amerika dan Barat terhadap nasib umat Islam. Semua ini dilakukan atas nama ?membenteras keganasan dan gerakan militan? yang didakwa oleh Amerika dilakukan oleh pertubuhan pertubuhan Islam yang bertujuan untuk menghancurkan kepentingan Amerika di dunia.


Seruan ?suci? Amerika ini disambut oleh pemimpin pemimpin sekular negara Islam yang secara kebetulan atau tidak mendakwa negara mereka juga diancam oleh gerakan militan dan keganasan ?untuk menggulingkan kerajaan yang ada sekarang dengan pertumpahan darah. Kempen Amerika terhadap keganasan telah menjadi kempen sedunia dan tidak pernah juga dalam sejarah interpol berlaku satu hubung-jalin yang begitu mantap sehinggakan tidak ada mana mana kumpulan Islam yang didakwa mengamalkan keganasan pasti ada hubung kaitnya antara satu sama lain.


Untuk memulakan kempen keganasan ini , Amerika perlu ada sebab dan perlu ada seseorang untuk didakwa. Untuk tujuan itu Osama dan Al Qaeda menjadi pilihan terbaik Amerika sebagai bahan kempennya. Kebetulan pula Afghanistan di bawah kerajaan Taliban melindungi Osama maka kerajaan Taliban juga dijadikan sasaran untuk memenuhi tujuan peperangan Amerika ke atas Afghanistan. Pakistan pula diheret dalam kancah peperangan ini apabila India mendakwa serangan ke atas Parlimen India pada 3 Oktober tahun lalu dilakukan oleh gerakan militan Islam Pakistan yang didakwanya didalangi oleh Perisikan Pakistan.

India juga mendakwa Perisikan Pakistan bertanggungjawab terhadap serangan serangan di Kashmir yang menjadi rebutan antara India dan Pakistan melalui kumpulan militan di sana. Kedudukan berjaga jaga sepenuhnya (full alert) di sempadan kedua buah negara tersebut menimbulkan lagi suasana tegang , apatah lagi kedua kedua negara tersebut masing masing memiliki senjata nuklear. Benua Indo-Pak dan Asia Tengah menjadi medan ketegangan dan pertaruhan Amerika yang besar satelah Timur Tengah.


Palestine yang menjadi tumpuan isu dunia tidak menunjukkan tanda tanda lebih baik, bahkan rejim Zionis di Israel mengambil kesempatan ini untuk menumpaskan habis habisan gerakan gerakan militan dan gerakan sederhana PLO pimpinan Yasser Arafat yang diiktirafi oleh Israel. Iraq pula terus diancam kerana termasuk dalam senarai negara yang menjadi penaja kepada keganasan.


Di Asia Tenggara pula Filipina mendapat nama di dada dada akhbar kerana aktiviti Abu Sayyaf yang turut didakwa mempunyai hubungan dengan Al Qaeda. Begitu juga keganasan di Ambon, Sulawesi dan Jakarta di Indonesia turut dikaitkan dengan aktiviti militan yang ditaja oleh Osama. Malaysia pula didakwa menjadi tempat pertemuan perancang perancang keganasan antarabangsa. Dunia dimaklumkan juga ujudnya golongan KMM (Kumpulan Mujahidin Malaysia) yang didakwa mendapat latihan ketenteraan di Afghanistan. Singapura pula berjaya menahan beberpa orang dari rakyatnya dan rakyat Malaysia yang dikatakan beroperasi dibawah pengawasan Al Qaeda di atas nama Jamaah Islamiyah (JI).


Hampir keselurohan benua di peta dunia hari ini tidak sunyi dari menjadi salah satu bahagian daripada kempen menentang keganasan. Gerakan Islam secara umumnya menjadi tumpuan utama dalam kempen menentang keganasan ini. Tidak kiralah samada tumpuan itu bersifat serangan ke atas kelangsongan (survival) gerakan Islam ataupun tumpuan itu bersifat mempertahankan Gerakan Islam dari semua tohmahan keganasan dan militant.


Membuat Penilaian


Satelah melihat senario konflik dunia hari ini , seseorang penganalisa tidak dapat lari untuk membuat satu rumusan awal yang tidak boleh diragui kesahihannya, iaitu konflik hari ini ialah konflik antara Islam dan Barat. Walaupun dahulu konflik ini telah ujud tetapi keujudannya hanyalah dalam bentuk perbincangan akademik atau bersifat retorik, berbeza dengan hari ini ia telah sampai ke tahap pertembungan ketenteraan yang membawa kepada penjajahan dan mobilisasi ketenteraan secara besar besaran. Satu lagi rumusan awal yang semakin jelas kesahihannya ialah tekanan Amerika ke atas pemimpin pemimpin negara Islam untuk membuat sikap ?sokong Amerika? atau menerima padah bersekongkol dengan keganasan. Hampir semua pemimpin pemimpin negara Islam memilih menjadi sekutu Amerika. Amerika tidak berpuas hati hanya dengan menyatakan sokongan tanpa satu tindakan yang membuktikan ?keikhlasan? lalu pemimpin pemimpin sekular negara Islam pun membuat usaha besara besaran ?crack down on terrorist organization? (menumpaskan organisasi teroris). Usaha pembenterasan ini diikuti dengan ?preventive measures? (tindakan menyekat) melalui undang undang yang digubal melibatkan sekatan perhimpunan politik , sekatan kelas kelas agama , sekatan berpersatuan dan pendidikan Islam, aktiviti serta sekatan sekatan ekonomi keatas pertubuhan pertubuhan Islam.


Sebenarnya pemimpin pemimpin sekular negara Islam melihat perkembangan mutakhir ini sebagai ?rahmat? kepada kelangsungan (survival) mereka. Kempen menumpaskan keganasan ini memberi peluang kepada pemimpin sekular negara Islam memperkukohkan semula kedudukan politiknya (re position) dan mereka mengambil kesempatan ini untuk sekaligus membenteras gerakan Islam yang bekerja atas landasn demokrasi yang mereka sendiri tahu tidak ada kena mengena dengan keganasan. Larangan larangan yang bersifat menyekat, menyempitkan lagi ruang bagi Gerakan Islam untuk menyampaikan risalahnya kepada orang ramai.


Usaha menentang keganasan ini juga membuka ruang bagi pemimpin sekular negara Islam mengelirukan orang ramai untuk menampalkan identiti buruk kepada Gerakan Islam antaranya mengaitkan secara rambang bahawa Gerakan Islam adalah kumpulan manusia yang menaja keganasan , Gerakan Islam mengharamkan wanita dari melibatkan diri secara aktif dalam pembinaan negara, Gerakan Islam membuka jalan bagi kuasa asing menjajah negara , Gerakan Islam tidak mempunyai wawasan memerintah negara dan kemuncak dari serangan ini ialah Gerakan Islam mahukan negara Islam (Islamic State) ?yang akan menimbulkan huru hara dalam negara.? Bahkan kalimat ?Islamic State? itu sendiri telah cukup kuat bagi Amerika dan Barat melabelkan kumpulan kumpulan Islam tertentu sebagai "militan."


Mendefinisi-semula "Keganasan"


Adalah sesuatu yang tidak adil bagi mereka yang waras untuk membuat andaian umum (generalization) kepada sesuatu isu tanpa melihat faktor faktor yang mempengaruhi sesuatu keputusan. Antara kesilapan pemimpin sekular negara Islam dan pemimpin pemimpin Barat (secara sengaja atau tidak) ialah mereka terlalu cepat membuat andaian tanpa melihat isu sebenarnya (real issues) dari konflik yang berlaku antara Barat dan Islam. Beberapa isu perlu kepada penjelasan supaya umat Islam tidak keliru antara kebenaran dan kepentingan kuasa kuasa besar.


1. Global Terrorism (Kegiatan Terroris Antarabangsa)


Ia adalah satu istilah yang digunakan untuk menunjukkan aktiviti keganasan yang mempunyai rangkaian antarabangsa guna untuk mendapat perhatian kepada tuntutan yang mereka perjuangkan. Ia dijadikan sebagai cara untuk memberi tekanan kepada pihak tertentu untuk berunding dan memenuhi segala permintaan perjuangan mereka. Selalunya kegiatan ini adalah hasil dari tekanan hebat yang dipaksa ke atas kumpulan mereka dan salah satu cara untuk menarik perhatian kepada tuntutan golongan ini ialah melalui aktiviti terroris yang melibatkan , suicide bombings (meletupkan diri sendiri dan membunuh yang lain) , penculikan atau rampasan bas ,kapalterbang dll , menembak curi tokoh tokoh tertentu sebagai tindakan balas dendam ataupun meletupkan tempat tempat penting yang boleh memberi kesan kepada ekonomi pihak puhak tertentu.


2. Militancy Movement (Gerakan Militan)


Ia adalah satu gerakan yang menggunakan kekerasan sebagai cara untuk mencapai matlamat perjuangannya. Mereka tidak meyakini demokrasi sebagai jalan untuk memenangkan dasar perjuangannya daripada kerajaan yang tersedia ada.. Operasi mereka adalah di bawah tanah dan perancangan mereka banyak melibatkan operasi operasi pembunuhan tokoh tokoh tertentu ataupun perancangan perancangan yang melibatkan melumpuhkan pihak keselamatan. Sistem pengkaderan mereka agak ketat dan syarat asas untuk menjadi ahli gerakan ialah bersedia untuk mati demi mencapai matlamat perjuangan mereka.


3. Independence Movement (Gerakan Kemerdekaan)


Gerakan ini bertujuan untuk membebaskan tanah air mereka dari terus dijajah oleh kuasa asing yang merampas bumi mereka dan menghalau mereka keluar dari bumi mereka. Selalunya gerakan ini mempunyai sayap sayap tertentu untuk mencapai hasrat mereka , adanya sayap politik , sayap ketenteraan dan sayap hubungan antarabangsa. Kumpulan ini ada hubungan dengan kerajaan kerajaan yang bersimpati dengan perjuangan mereka bahkan ada sebahagian daripadanya mendapat bantuan kewangan dll bentuk bantuan yang selalunya diberi secara tidak langsong.


4. Sectarian Movement (Gerakan Kepuakan)


Ini pula adalah gerakan yang menjadikan fahamannya atau ideologinya sebagai asas untuk bertindak secara ganas terhadap kumpulan lain yang tidak sebulu dengannya. Selalunya ia mempunyai kumpulan bermusuhan yang membenci fahaman tersebut lalu mereka berbunuhan antara satu sama lain. Segala kegiatan keganasan diselindungi disebalik alasan mempertahankan ideologinya dari dihapuskan


Realiti Umat Islam


Apa yang menarik dalam semua kategori yang disebut di atas, ia tidak terbatas kepada golongan Islam sahaja. Bahkan kategori yang disebut banyak dikaitkan dengan golongan lain yang lebih ganas dan radikal. Rangkaian dadah antarabangsa termasuk dalam kategori terroris antarabangsa , gerakan militant di Amerika Latin saperti TUPAC Amaru , Sandista, Tamil Elam di Sri Lanka,IRA dll adalah gerakan militant yang cukup kejam. Gerakan pembebasan saperti gerakan pembebasan Kurdistan , Acheh , Selatan Sudan dll adalah juga bentuk perjuangan pembebasan.


Gerakan kepuakan yang paling ganas dalam sejarah ialah pertumpahan darah di Ireland Utara antara Protestant dan Katolik , di Afrika antara puak puak Hutsi dan Tutsi di Pakistan antara Syiah dan Sunni. Dalam menafsirkan keganasan , mengapakah hanya Islam yang dilabelkan sebagai pengganas? Mengapa kumpulan pengganas lain tidak diperangi jika Amerika betul betul mahu menghapuskan keganasan? Adapun realiti perjuangan umat Islam hari ini yang secara rambang dikaitkan dengan keganasan dan militant perlu dilihat dalam beberapa perspektif dalam konteks penderitaan yang dilalui oleh umat Islam hari ini.


1. Penindasan ke atas umat Islam Palestine oleh regim Zionis sejak dahulu lagi adalah merupakan sebab utama yang menyumbang kepada kemelut politik antarabangsa. Sikap Amerika dan Negara Barat menyokong regim Zionis di Israel telah menimbulkan kemarahan umat Islam sedunia kerana mereka merasakan isu tersebut telah menunjukkan sikap double standard Amerika. Semua tindakan keganasan Yahudi disokong oleh Amerika dan pembunuhan ke atas beribu ribu nyawa orang Palestine yang tidak berdosa dianggap oleh Amerika sebagai tindakan mempertahankan diri manakala nyawa seorang Yahudi yang dibunuh dianggap sebagai tindakan pengganas.


Sikap Amerika ini menyebabkan kebencian umat Islam meluap luap.Bagi sebahagian daripada umat Islam mereka tidak ada pilihan melainkan 'bertindak balas' (retaliate) dengan cara yang serupa saperti yang dilakukan oleh Zionis tetapi di luar bumi Palestine , khusunya tempat tempat strategik Amerika. Palestine adalah isu antarabangsa yang istimewa kerana ia melibatkan sentimen umat Islam sejagat , ia bukan isu orang Palestine tetapi ianya isu umat Islam yang sayang kepada agamanya. Masjid AlAqsa yang menjadi tumpuan utama serta sejarah panjang yang pahit dengan Yahudi telah melibat seluroh dunia Islam bangkit dengan sentimen kebencian terhadap kuasa Amerika yang membajai keujudan Negara Zionis Israel.


2. Palestine dan Kashmir yang dijajah oleh kuasa asing telah menyebabkan umat Islam di sana bangkit untuk memerdekakan tanahair mereka. Apakah kebangkitan ini boleh dianggap sebagai tindakan keganasan. Bagaimanakah perundingan damai boleh berlaku jika penjajah terus menerus meningkatkan ketenteraannya dan melakukan penindasan ke atas bumi yang dijajah? Label keganasan serta militan yang ditempelkan ke atas pejuang pejuang Palestine dan Kashmir adalah sesuatu yang tidak masuk akal. Mereka hanya mahukan kebebasan bumi mereka yang dijajah. Mengapa Amerika tidak bertindak pantas untuk memberi keadilan kepada orang Palestine dan memaksa Regim Yahudi berpegang janji kepada Perjanjian Oslo. Mengapa Amerika tidak memaksa India untuk menyerahkan sebahagian Kashmir yang dipersetujui adalah sebahagian daripada Pakistan? Apabila adanya kumpulan pembebasan Kashmir yang berasaskan Islam mahukan kebebasan , mengapa mereka dikatakan kumpulan militan?


3. Gerakan Islam di sebahagian tempat pula menggunakan demokrasi sebagai landasan untuk mempengaruhi orang ramai. Gerakan ini berdaftar dan mempunyai pengaruh yang cukup besar alam menentukan perjalanan politik negara. Contoh kepada cara ini ialah gerakan Islam di Malaysia , Turki , Pakistan , Algeria dan Mesir. Namun demikian cara demokrasi pun tidak sunyi dari sikap double standard Amerika dan negara Barat. Pengalaman di Turki , Algeria menzahirkan sikap double standard Amerika dan Barat. Walaupun kemenangan Islam dibatalkan disana oleh campurtangan tentera , Amerika tidak memperjuangkan hak yang dimenangi oleh golongan Islam melalui demokrasi. Amerika yang merupakan pejuang demokrasi menjadi bisu untuk mempertahankan kemenangan golongan Islam di persada demokrasi.


4. Gerakan Islam di negara Islam sendiri ditindas dan disekat kebebasannya oleh pemerintahan sekular. Undang undang digunakan untuk menyekat suara suara Islam daripada mendapat tempat dalam masyarakat. Apabila demokrasi disempitkan untuk membataskan suara suara Islam , Amerika tidak campurtangan. Bahkan lebih teruk lagi Amerika menasihatkan pula negara negara ini supaya menyekat suara Islam, jika tidak negara tersebut akan ditekan. Singapura yang banyak menyekat suara suara pembangkang dengan undang undang yang ketat , tidak pula dicop sebagai negara yang tidak menghormati demokrasi bahkan Singapura merupakan anak didik Amerika untuk mengimbangi kuasanya di Asia Tenggara.


Apa yang penting dalam persimpangan ini ialah Gerakan Islam perlu terus menerus menghadirkan dirinya dalam kelompok massa dengan program program yang berdaya saing. Gerakan Islam tak perlu bersifat apolegetik (mengalah) seolah olah mereka merasa bersalah dengan tuduhan tuduhan yang dilemparkan ke atas mereka. Gerakan Islam bukan kumpulan pengganas , mereka adalah pimpinan alternatif yang berpotensi untuk membina masa depan dunia ini kerana kekuatan dasar yang mereka bawa.


Walaupun rumusan awal menyatakan bahawa konflik hari ini ialah pertembungan Islam dan Barat tetapi dari segi falsafahnya dan isinya ia adalah pertembungan antara nilai Agama dengan segala sistemnya dengan nilai Materialism dengan segala sistem yang terkandong di dalamnya. Masyarakat hanya perlu diyakinkan siapakah diantara nilai ini yang lebih mantap untuk membina tamadun manusia. Anggaplah segala konflik yang berlaku sebagai proses menzahirkan yang haq dan menghapuskan yang batil.


Persimpangan kali ini akan membawa gerakan Islam kepada kedudukan yang lebih penting. Walaupun dialog antara peradaban merupakan satu wasilah penting untuk Gerakan Islam menjelaskan kedudukannya dengan Barat namun ia bukanlah satu satunya jalan keluar. Pada waktu yang sama Gerakan Islam mesti bersungguh memenangi keyakinan rakyat tempatan untuk kemudian membuktikan bahawa Gerakan Islam mampu mentadbir negara.


Adalah sesuatu yang silap bagi penggerak Islam di merata ceruk dunia menggunakan pendekatan yang rigid tanpa melihat suasana dan reality setempat serta suasana yang sedang dilaluinya. Palestine bukan Malaysia dan Malaysia bukan Afghanistan begitu juga Pakistan bukan Mesir. Apatah lagi jika umat Islam berada pada kedudukan minoriti saperti di Thailand, Filipina, Britain ,Amerika dll , satu pendekatan lain diperlukan.


Perbezaan pendekatan ini bukanlah alasan bagi Gerakan Islam untuk memisahkan diri masing masing antara satu sama lain, ada di sana unifaktor (factor bersama) yang perlu dipupuk dan dijana secara unifaktor juga. Unifaktor ini adalah masing masing mahukan Islam tertegak sebagai satu entiti yang ada 'supremacy' (keunggulan) dalam menentukan perjalanan dan pentadbiran kehidupan manusia. Pada tanggapan penulis unifaktor inilah yang mahu dirobohkan oleh Amerika dan Barat. Tidak kiralah samada di Malaysia atau Afghanistan , Pakistan atau Mesir supremacy Islam yang diperjuangkan oleh Gerakan Islam tidak disenangi oleh Kuasa kuasa Besar dunia.


Mereka mahu Islam dipelihara oleh golongan sekular yang hanya menjadikan Islam sebagai ?agama resmi? yang tiada supremacy dalam menentukan keputusan negara. Persimpangan kali ini agak rumit tetapi menjanjikan masadepan yang baik kerana hanya dengan penyerlahan pertembungan ini sahaja yang akan membuka mata dunia tentang kehebatan Gerakan Islam. Di Amerika dan Britain sendiri minat rakyat mereka terhadap Islam semakin meningkat. 'Blessing in disguise' (rahmat disebalik penderitaan sesuatu) adalah lumrah mana mana perjuangan , lagipun Gerakan Islam beriman dengan firman Allah "moga moga apa yang kamu tidak suka ianya baik untuk kamu , dan moga moga apa yang kamu suka (kemenangan yang mudah) ianya buruk bagi kamu , Allah mengetahuinya (ketika ia menjadikan semua ujian ini) sedangkan kamu tidak memahaminya (kamu terlalu gopoh)"


Mujahid Haji Yusof Rawa


(Artikel ini ditulis ketika berada di Peshawar semasa mengetuai misi bantuan kemanusian PAS bagi pelarian Afghanistan)