Saturday, March 3, 2007

"Mengapa tidak berani cabar pandangan sendiri"

MAJLIS PAS di premis-premis milik masyarakat Cina bukan lagi perkara pelik atau menjadi fenomena luar biasa di mata umum, kehadiran pemimpin dan ahli-ahli PAS dengan memakai jubah, serban dan kopiah putih ke tokong atau dewan komuniti kaum Tiong Hwa seperti di Ipoh, Taiping, Klang, pulau pinang atau di Kuala Lumpur memperlihatkan masyarakat Cina khususnya boleh bersifat terbuka terhadap PAS walaupun parti itu membawa imej Islam dan sering digambarkan sebagai ekstrim, jumud dan pelbagai label negatif lagi. Untuk mendapatkan gambaran yang lebih dekat tentang perkembangan tersebut, wartawan Siasah, HAFIZ MOHD BAQI menemubual pengerusi Lujnah perpaduan PAS, Mujahid yusuf yang menjadi tonggak kepada badan terpenting PAS dalam usaha merapatkan parti itu dengan masyarakat berbilang kaum dalam negara ini.

Bagaimana saudara melihat bentuk perpaduan kaum dalam negara ini setelah negara mencapai kemerdekaan 49 tahun?

Ada beberapa pencapaian yang membanggakan namun dari sudut mind set perpaduan itu masih lagi belum mencapai tahap kematangan. Maksud mind set ialah masyarakat majmuk di Malaysia ini masih dalam mentaliti kaum masing masing dan setiap kaum masih mencurigai kesinambungan identiti mereka sehinggakan setelah kita merdeka isu perkauman masih lagi menjadi agenda parti-parti perkauman yang kadang-kadang menimbulkan kekecohan.

Satu lagi masalah perpaduan ialah isu ini dieksploitasikan oleh pemimpin-pemimpin politik untuk mendapat simpati undi dan political mileage. parti-parti ini bergerak dalam kerangka perkauman yang sempit dan hanya mementingkan agenda kaumnya. Ini jelas kelihatan dalam Umno, MCA, MIC dan mungkin juga Gerakan. Seolah-olah negara kita ini dibahagikan kepada kek-kek yang dipelihara oleh penjaganya yang beridentitikan kaum masing-masing.

Lebih memburukkan pembahagian ini disalahgunakan oleh pemimpin-pemimpin politik dan golongan yang oportunis sehingga bahagian kek itu diramPAS oleh golongan-golongan ini, sebab itu ada istilah UMNOpUTRA dan bukan Bumiputra. Selagi budaya ini wujud dan amalan ini dan mind set ini tidak dihapuskan selagi itu perpaduan sebenar sukar dicapai. PAS dan BA mempunyai agenda besar mengubah mind set yang berakar umbi ini.

Sebagai salah seorang pemimpin PAS yang finggal di pulau pinang, akhir-akhir ini hangat diperkatakan tentang nasib Melayu negeri itu yang terpinggir. Malahan faktor perkauman turut dunainkan dalam isu itu, apa komen?

Isu Melayu pulau pinang bukan baru malah ia menjadi hidangan pemimpin politik sepanjang zaman. Mungkin isu ini sentiasa menjadi back-up bagi golongan tertentu dalam keadaan terdesak maka isu ini bangkit. Saya agak pelik kerana isu ini sering dibangkitkan semasa Umno berada dalam krisis dalamannya dan semasa Umno hangat bermesyuarat Agung, kemudian isu ini akan senyap dan hilang untuk timbul lagi sebagai back-up isu.

Walau apa pun isu Melayu pulau pinang ada meritnya. Mungkin salah satu sebabnya ialah Ketua Menteri pulau pinang dari Gerakan adalah Ketua Menteri pulau dan bukan Ketua Menteri Seberang, kerana semua tumpuan pembangunan di pulau dan tidak di Seberang di mana orang Melayu lebih ramai. Mungkin dia lupa pulau pinang adalah meliputi pulau dan Seberang.

Kedua ialah pemilikan tanah bagi Melayu di Pulau Pinang rendah dan pembangunan yang pesat menyebabkan Melayu terpinggir. Tanah diambil dengan pampasan yang rendah, nak beli rumah flet pun susah, akhirnya lari ke Seberang Perai. Tahap pendidikan dan pencapaian akademik orang Melayu Pulau Pinang juga menjadikan mereka sukar bersaing di pasaran buruh negeri ini yang menjadi pusat industri, oleh itu orang Melayu lebih banyak bekerja di kilang sebagai operator dan bukan di bahagian pengurusan.

Salah satu lagi faktor dan ini agak penting iaitu kelemahan agensi kerajaan yang menjadi penghubung dengan pemerintahan pusat bagi memajukan orang Melayu pulau pinang. Dari jawatankuasa pemandu Bumiputra, PERDA dan lain-lain yang tidak memaksimakan kuasa yang ada untuk memajukan orang Melayu Pulau Pinang. Lebih buruk daripada itu, jawatankuasa ini lebih banyak dipolitikkan daripada menjalankan tugasnya dengan cara profesional.

PAS menyatakan masalah ini sejak sekian kalinya dan Melayu pulau pinang mesti dibantu bukan kerana mereka Melayu tetapi keperluan mengimbangi struktur masyarakat yang menjaminkan keadilan sosial. Oleh itu bagi memenuhi keadilan sosial ini usaha yang lebih ikhlas diperlukan, bukan bantuan berbau perkauman dan politik sempit golongan opportunis kaum.

Mengenai Lujnah Perpaduan Nasional (LPN ) yang dipengerusikan oleh sdr, mungkin tidak ramai yang mengenalinya, boleh terangkan serba sedikit mengenai lujnah ini?

Lujnah ini awalnya dikenali sebagai Lujnah Hubungan Antara Kaum (HAK) kemudian dikenali sebagi JAYA iaitu Jabatan Antara Budaya dan kini ia dikenali sebagai Lujnah Perpaduan Nasional. Sudah tentu nama-nama itu membayangkan kefahaman kita kepada kerja asas lujnah ini dan keperluan semasa. Nama Lujnah perpaduan Nasional lebih menggambarkan komitmen PAS sebagai elemen penting membina perpaduan semua kaum bagi membentuk masyarakat Malaysia yang unik.

pendekatan strategik yang pernah dilakukan ialah penubuhan CCC iaitu Chinese Consultative Council sehingga kita pernah meletakkan calon-calon dari CCC bertanding atas tiket PAS. Program PAS waktu itu merentangi semua kaum dan PAS berjaya memecahkan tembok tebal antaranya dan kaum Cina. Namun CCC tidak dapat diteruskan sehinggalah pada tahun 1999. Pendekatan PAS kepada kaum Cina mendesaknya untuk menubuhkan platform mendekati kaum lain. Berlatarbelakangkan ini maka Kelab penyokong PAS ditubuhkan dan semasa saya diberi amanah memegang LPN saya telah memupuk dan membina konsep ini untuk menjadi kenyataan di seluruh tanah air maka kini di bawah LPN kita berjaya menubuhkan Kelab penyokong PAS di seluruh negara.

Kelab penyokong di peringkat pusat kini sangat aktif dan matlamat kami adalah untuk menjadi jambatan antara PAS kaum lain melalui inovasi-inovasi yang lebih terbuka dan mesra. Bahkan usaha ini menimbulkan kesedaran ahli tentang perlunya PAS meletakkan agenda semua kaum dalan manifesto politiknya dan aktivitinya. Kami juga mendidik pendekatan politik yang sesuai kepada semua ahli PAS melalui seminar-seminar yang kami anjurkan antaranya ialah seminar memaksimakan sokongan pengundi Bukan Melayu. Alhamdulillah kami telah menjelajah seluruh negara untuk tujuan tersebut.

Peranan LPN?

Menjadi perantara strategik untuk matlamat perpaduan nasional dan kami juga memberi input dalam dasar perpaduan yang akan menjadi manifesto parti untuk rakyat Malaysia. Dalam keadaan mamuk Malaysia, LPN menjadi penting apatah lagi hasrat PAS untuk membina masa depan negara melalui perjuangan politiknya dengan rakan-rakan BA.

LPN sebelum ini hanyalah satu Lujnah tetapi kini saya telah berusaha membawa identiti LPN sebagai Lujnah asas yang penting untuk membentuk input dan pengaruh mengubah mind set perpaduan hatta dalam PAS sendiri, saya menganggap peranan LPN juga bersifat catalyst kepada perubahan dalam dan luar PAS. Ini sudah tentu besar, namun untuk menerajui perubahan dalam negara kita, kita kena berubah dulu untuk kadang-kadang mencabar apa yang kita anggap betul selama

ini.Dalam usaha PAS untuk mendekatkan diri dengan kaum bukan Islam dengan menubuhkan badan seperti CCC, HAK dan kini LPN. Kalau dilihat kesannya, tidak nampak ia banyak membantu PAS khususnya di waktu pilihan raya dalam meraih sokongan bukan Islam. Sebenarnya apa yang berlaku, adakah kerana PAS lebih banyak berpolemik?

Semua itu adalah pengalaman dan trial and error. Kita harus melihat ke hadapan untuk sentiasa mencuba. Kita akur bahawa pengaruh undi banyak bergantung kepada isu dan bukan inovasi. Namun kita tak boleh menanti isu, kita harus mengurus isu, jika inovasi kita menjawab isu-isu semasa pilihanraya maka ia satu bonus jika tidak kita telah berusaha oleh itu ketepatan innovasi mengikut landasan strategi kita adalah penting. Tetapi saya ingin menegaskan bahawa pengundi bukan Melayu juga genuine dalam melihat masa depan negara, mereka juga mahukan masa depan yang adil dan bersih dari korupsi, merekalah sandaran kita kerana kita berkongsi cita-cita dan harapan, golongan ini adalah pengundi setia kita. LPN hanya perlu membanyakkan golongan ini sebagai pengundi potensi kita.

Satu hal yang diperhatikkan juga ialah usaha-usaha PAS mendekatkan diri dengan kaum kaum lain, PAS hanya berkisar dalam bentuk program seperti meraikan majlis perayaan, mengadakan program makan-makan atau melalui dialog-dialog yang dianjurkan. Sedangkan dari aspek lain seperti pembelaan terhadap kaum Cina dan India yang tertindas di estet atau di kilang-kilang oleh majikan mereka, PAS nampaknya agak terkebelakang berbanding badan-badan lain. Mengapa keadaan ini berlaku?

Saya setuju kita masih jauh, namun LPN melalui Kelab penyokong PAS dan gandingan dengan NGO lain melihat permasalahan rakyat merentasi kaum. Saya rasa program hanyalah landasan, real politics ialah menjawab permasalahan di akar umbi. Saya pula secara peribadi berusaha untuk melonjakkan konsep perjuangan semua bangsa ini melalui kaedah praktikal dengan melihat nasib semua kaum, seperti juga pemimpin lain seperti Dr Rosli, Dr Hatta contohnya yang bekerja keras merentangi semua kaum. Kelemahan kita menangani isu merentasi kaum ini ialah kerana pemimpin PAS masih merasakan mereka hanya pemimpin untuk golongan tertentu sahaja. Perkara ini harus berubah untuk melayakkan PAS menjadi aspirasi nasional. Kami sedang gigih mengatasi maslah-masalah ini.

Masalah besar menjadi penghalang antara PAS dengan masyarakat bukan Islam termasuklah isu negara Islam itu sendiri, hukum hudud dan hukum orang murtad menjadi fobia kepada orang bukan Islam. Satu hal lagi, media nampaknya memburukkan lagi keadaan. jadi bagainama sdr menghadapi situasi ini dalam rangka membentuk hubungan PAS dengan masyarakat bukan Islam ini?

Sememangnya kerumitan itu wujud namun kita harus menghalusi semua itu dalam perspektif yang tepat. Contohnya isu Negara Islam mesti dijelaskan dalam bentuknya yang isi atau substantive bukan kerangka atau constructive. Dengan kata lain mesti ditunjukkan nilai nilai itu bukan disyarahkan. Begitu juga mafhum Negara Islam itu mestilah sesuai dengan keadaan semasa dan tuntutan semasa dengan tidak meletakkan bentuknya yang rigid. Soal murtad pula mesti dibawa ke meja dialog untuk menjelaskan berbagai aspek yang masih keliru. Adanya soal hukum, soal undang-undang dan paling penting ialah ruh yang membentuk perlembagaan dan masyarakat hari ini di mana Islam adalah asasnya.

Kefahaman ini tak selesai hanya melalui demonstrasi, ia perlu juga diselesaikan melalui dialog yang sihat dan terbuka. Adapun media ia satu perjuangan yang jauh untuk membetuli keadaan buat masa ini. PAS harus menggunakan cara terbaik untuk menyampaikan mesej kita.

Secara peribadi adakah saudara melihat sebuah parti yang membawa agenda negara Islam secara jelas dan terang-terangan merupakan satu pendekatan praktikal dalam konteks yang politik Malaysia?

Negara Islam bukan agenda politik, ia adalah keyakinan semua muslim. Kita tak boleh menolaknya semata-semata kerana ia merugikan kita. Yang perlu diamati ialah bagaimana keyakinan ini diperhalusi dan diolah dalam kerangka perlembagaan negara supaya ia menjadi praktikal. Masalahnya ialah kita tak boleh berhadapan dengan rakyat dalam bahasa yang tidak difahaminya.Falsafah PAS mesti diolah dalam kerangka bahasa yang difahami oleh semua orang dan mesti dilihat menjadi jambatan membentuk masa depan untuk semua kaum. Kita tak boleh terasing semata-mata kerana falsafah kita tak difahami oleh orang ramai, kita mesti bersama-sama kerenahrakyat dan pada waktu yang sama memahamkan mereka melalui interaksi praktikal dan bukan hanya syarahan dan ceramah tentang negara Islam. Itulah praktikaliti perjuangan PAS dan ia memerlukan lonjakan yang besar untuk mengubah persepsi oran ramai terhadap PAS.

Bagaimana pula dengan penampilan dan pendekatan pemimpin PAS khususnya golongan ulama dikatakan agak rigid dan menakutkan orang bukan Islam untuk mendekati PAS, ramai berpersepsi seperti ini, malahan ia merupakan antara analisis akademik mengenai kegagalan PAS atau pemimpin PAS. Mungkin sdr boleh komen perkara ini?

Penampilan imej ada dua. Satu fizikal satu lagi pemikiran. Bagi saya penampilan pakaian penting, namun yang lebih penting ialah pemikiran dan tindakan. Jika berserban dan berjubah tetapi mempunyai daya pemikiran yang maju dan menjadi aspirasi lebih baik daripada berpakaian tali leher dan kot tetapi kolot dalam pemikiran dan tidak berdaya maju.

Bagi saya pemikiran dan world view kita kepada medan politik yang diceburi dengan memahami bentuk mukabumi yang dipijak adalah penting yang akan menentukan cara kita berfikir dan bertindak dan apa yang diucapkan. Mastering the context bukan mudah, ia memerlukan fleksibiliti, keterbukaan dan kreativiti namun pada waktu yang sama tidak lari dari prinsip. Saya rasa ini adalah seni yang memerlukan kesabaran dan sentiasa mencuba yang terbaik. Jika kita berjaya membentuk pemikiran yang tinggi ini maka tohmahan ke atas ulama atau bukan ulama tidak timbul, yang timbul ialah ahli PAS yang memahami realiti politiknya dalam kerangka dasar yang diperjuangkan. Saya tahu ia sukar namun inilah cabaran mendatang PAS di masa hadapan. Generasi ketiga PAS mesti membawa seni pemikiran ini.

Kalau tidak salah ada pandangan-pandangan daripada saudara sendiri sebelum ini yang menyebuttentang era kepimpinan ulama harus memasuki fasa baru bolehjelaskan?

Ya, fasa baru yang membawa pemikiran tajdid dalam rumusan feqah mereka kepada suasana yang ada. Kepimpinan ulama sudah menjangkau 23 tahun, banyak yang berubah, adakah kita masih dalam pemikiran yang lampau tanpa melihat masa depan yang mencabar? Pandangan dahulu tak sama dengan perkembangan baru, ij'tihad dulu mungkin tidak sesuai hari ini, semua ini ada dalam bab ij'tihad. Mengapa kita tidak berani mencabar pandangan kita sendiri? Bukankah pandangan kita hanya alat untuk mencari yang terbaik? Jika ada yang lebih baik mengapa harus pegang kepada pandangan kita? Semua ini hanyalah ijtihad politik yang tidak menyentuh prinsip dan asas kita.

Atas dasar ini saya yakin dan menegaskan kepimpinan ulama perlu memasuki fasa baru yang lebihdinamik. Lebih buruk kepimpinan ulama disalahertikan atau sengaja disalahertikan kerana selesa dengan keadaan dan takut mengambil risiko untuk membuat perubahan.

Menyentuh sedikit mengenai cadanngan supaya PAS menerima keahlian bukan Islam yang pernah dicetuskan PAS sebelum ini. Secara peribadi adakah sdr setuju dengan idea tersebut?

Ini isu sensitif kerana melibatkan isu perlembagaan yang perlu dirombak dengan persetujuan muktamar. Soalannya ialah keperluan, adakah keadaan mendesak sehingga tahap itu? Ataukah untuk please bukan Islam? Bukan soal hukum kerana perkara ini termasuk dalam perkara ij'tihad dan bukan putus. Saya lebih menerima atas keperluan. Biarlah jambatan ini dibina dulu sebelum pintu dibuka. Secara peribadi keadaan belum memerlukan.

Sehingga kini belum menampakkan sebarang perkembangan mengenai keahlian bukan Islami walaupun idea itu sudah agak lama dicetuskan, mengapa?

Ya, ada. Antaranya kita bersetuju untuk meletakkan calon bukan Islam atas tiket PAS, ini adalah perkembangan yang positif.

Selain daripada halangan perlembagaan PAS sendiri yang perlu dipinda terlebih dahulu untuk merealisasikan idea tersebut mungkin masih ada halangan-halangan lain seperti faktor politik atau sebagainya...?

Ya, ada faktor strategik, struktur, politik dan keperluan.

Akhirnya, sebagai pengerusi LPN boleh saudara mengulas mengenai program kongsi raya yang diharamkan oleh mufti baru-baru ini?

Kongsi raya ini disalahertikan secara meluas. Pertama ia melibatkan keyakinan bahawa perayaan Islam sama dengan perayaan lain, ini jelas hukumnya haram kerana merendahkan perayaan yang disyariatkan oleh Allah. Kedua, fatwa ini tidak mengharamkan hormat menghormati dan ziarah menziarahi. Ramai yang salah anggap dan tak dapat berbeza antara dua perkara ini. Ziarah untuk menambatkan hubungan tidak menjejaskan keimanan dan tidak timbul merendahkan martabat Islam. Ini perlu dijelaskan dan soalan ini diharapkan dapat kefahaman yang sebenarnya oleh ahli PAS.

No comments: