Tuesday, April 10, 2007

Isu pecat Mufti: Lajnah Perpaduan Nasional minta semua pihak bertenang

Mohd Sabri Said
Thu | Apr 05, 07 | 03:50:11 PM
GELUGOR, 5 April (Hrkh)- Semua pihak diminta bertenang ketika berhadapan isu resolusi parti Gerakan Wilayah Persekutuan yang mendesak agar Mufti Perak, Dato' Harussani Zakaria dipecat kerana dikhuatiri ia akan menimbulkan kekeliruan umum dan memberi ruang kepada pihak-pihak tertentu meraih keuntungan politik.

Mengulas resolusi yang diluluskan konvensyen Gerakan Wilayah Persekutuan pada 1 April lalu, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Ustaz Mujahid Yusuf Rawa mahu kontroversi itu diselesaikan menerusi rundingan.

Bercakap dalam satu sidang media di Pejabat Save Our Self (SOS) semalam, beliau menasihati orang ramai agar tidak cepat melatah dengan provokasi Gerakan sebaliknya mengambil sikap yang rasional dan mengutamakan perbincangan.

"Semua pihak jangan melatah sebaliknya bertenang dalam isu memecat Mufti Perak, Dato' Harussani Zakaria. PAS khususnya Lajnah Perpaduan Nasional bersedia untuk berunding atau berbincang bagi membantu masa depan negara yang memerlukan perubahan politik untuk menyakinkan semua bangsa," tegasnya.

Menurutnya, dalam isu ini parti Gerakan dilihat menyentuh dua perkara utama yang berkait terus dengan persoalan kebebasan beragama dan kedudukan Mahkamah Syariah.

Parti kompenan BN itu juga, jelas beliau telah lari daripada perbahasan yang objektif dan sihat kerana menyentuh kedudukan raja-raja dan Sultan yang menaungi kuasa melantik dan memecat mufti.

Menurutnya, semua warga Malaysia yang taatkan negara perlu memahami kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan negara.

Kedudukan istimewa Islam dalam Perlembagaan negara, jelasnya bukan satu penafian kepada agama-agama lain yang dianuti rakyat tetapi sebagai menghargai sejarah susur galur dan peranan Islam dalam pembentukan negara.

Sehubungan itu, tambah beliau, Perkara 11 Perlembagaan menjamin kebebasan beragama kepada rakyat.

"Interpretasi kepada perkara 3(1) dalam kes mahkamah jelas menunjukan perspektif yang berbeza-beza namun hingga kini doktrin duluan tidak pernah menjadi alasan penghakiman.

"Oleh itu, walaupun ada cabaran kepada kehendak perkara 3(1) dalam Perlembagaan namun status Islam dalam rujukan keputusan hakim terbukti memberikan kedudukan yang utama sebagai agama Persekutuan," terang Mujahid.

Beliau juga tidak dapat mempastikan sama ada resolusi parti Gerakan Wilayah Persekutuan itu berhasrat mempertikaikan perkara 3(1) yang termaktub dalam Perlembagaan.

"PAS bimbang isu ini sengaja di gemburkan untuk menimbulkan kemarahan orang Islam terhadap orang bukan Islam ekoran kejayaan PAS mendekati kaum lain menerusi Kelab Penyokong PAS.

"Apa yang dibimbangkan, BN mempunyai matlamat ketika melemparkan isu ini menerusi Gerakan semata-mata mahu memecahkan usaha murni PAS dan pembangkang ketika hampir tarikh pilihan raya umum ke-12," jelasnya yang juga Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Negeri Pulau Pinang.

Saturday, March 3, 2007

Naik basikal bersama ayahnda Yusuf Rawa lawat kawasan

Ustaz Mujahid Yusuf Rawa antara tokoh muda PAS yang baru ditonjolkan. Anak bongsu bekas Yang Dipertua Agung PAS ini, mempunyai perbagai cerita menarik untuk dikongsi. Ikuti sembang santai beliau dengan Mohd Sabri Said baru-baru ini.
(Harakah bil 132916-28 Februari 2007)

Latar belakang pendidikan
Pendidikan awal di Sekolah Rendah Kampung Jawa, Pulau Pinang kemudian ke Sekolah
Raja Tun Muda di Kuala Lumpur. Semasa mengikut ayahnda, Hj Yusuf Rawa sebagai Duta Malaysia di Iran, saya belajar di British International School. Alik ke Pulau Pinang, belajar di Penang Free School sehingga tingkatan enam.

Kemudian ke Universiti Amerika di Cairo (bidang bahasa), seterusnya Univesiti Al-Azhar. Saya ambil master di Univesiti Putra Malaysia (UPM) dalam sumber manusia dan sekarang menunggu keputusan PhD dalam bidang sama.

Anak bongsu, iaitu yang ke-11, enam perempuan dan lima lelaki. Isteri berasal dari Terengganu, anak tiga orang, dua perempuan dan seorang lelaki. Anak sulung di tingkatan empat, kedua tingkatan dua dan seorang lagi darjah lima.

Hobi
Membaca dalam suasana yang tenang terutamanya di waktu malam. Pernah tidak tidur sehingga pagi menatap buku yang menjadi tarikan. Saya pasti bawa buku ketika bermusafir. Pembacaan saya tidak tertakluk kepada buku agama, sebaliknya buku yang mencabar minda kerana isinya melebarkan pemikiran.

Tidak hairanlah di rumah peninggalan ayahanda di Gelugor ada perpustakaan kecil. Kemungkinan tabiat membaca tersemai dari sikap ayahanda yang dikatakan 'Ulat buku', setiap waktu lapang mesti ada buku di tangannya walaupun senaskhah akhbar.

Banyak koleksi buku peninggalan ayahanda masih tersimpan dan saya jadikan rujukan sebelum memulakan kuliah. Saya sendiri mengkategorikan buku yang ada seperti Arab, perubatan, Inggeris dan Melayu.

Satu lagi hobi yang masih menebal ialah menonton filem bercorak penyiasatan. Bagi saya ia melatih pemikiran supaya bersedia dalam sebarang tindakan. Bahkan, sekaligus ia mengajar kita bagaimana melakukan penyusunan sesuatu tugas dengan rapi sehingga boleh menyelesaikan masalah. Atau kata lain mengasah minda supaya lebih tajam.

Pengalaman Almarhum ayahanda

Maklumlah Saya anak ke-11, saya dan kakak iaitu Widad dan Ratna Huda sering ayahanda bawa ke mana sahaja ketika cuti sekolah. Saya juga pernah ikut ayahanda lawat kawasan ketika beliau menjadi Ahli Parlimen Kota Setar Selatan. Dia ambil kami petang Jumaat dan bawa naiki kereta berjumpa dengan orang kampung.

Kemudiannya berbasikal bersama orang kampung. Saya masih ingat lagi rasa seronok bila ada orang kayuh basikal dan saya diletakkan di bahagian belakang. Di waktu kecil masa saya habis dalam kereta sahaja kerana sering di bawa bersama sama ada bertugas atas nama parti atau kerajaan.

Peristiwa pahit yang tidak boleh lupa?

Ketika pemergian bonda, Hajjah Kalsum Ali yang meninggal pada 1997 dan kemudiannya Haji Yusuf Rawa pada tahun 2000, setelah melihat kembali kebangkitan PAS dalam pilihan raya ke-10.

Kerjaya selain politik?

Sekarang saya mengambil alih perniagaan daripada ayahanda dan sedang menguruskan perniagaan buku agama, kitab dan rujukan agama di Jalam Kampung Jawa, Bayan Baru. Saya pakai nama baru iaitu Safir Ilmu Enterprise agar lebih nampak kemodenan berbanding nama syarikat dulu Haji Abdullah Noodin Al-Rawi yang dibina sejak 1921.

Makanan kegemaran?

Nasi bukhari asli yang mempunyai resepi dari Arab. Ibu saya memang pandai memasak nasi bukhari dan masakan lain sehinggalah ia sempat menurunkan ilmu masakan itu pada isteri saya. Alhamdulillah, sewaktu bonda kurang sihat dan berkerusi roda beliau sering memberi tunjuk ajar kepada menantu-menantunya tentang masakan Arab asli ter-utama nasi bukhari.

Suka tolong isteri di dapur?

Walaupun kurang tolong isteri di dapur, namun bila ada masa lapang saya suka basuh pinggan, belangga, cuci dapur, kemas rumah, cuci bilik air atau jemur kain. Itulah cara hendak ucapkan terima kasih di samping meringankan tugasan isteri kesayangan, maklumlah saya sering keluar
rumah.

Tugas khusus dalam PAS

Saya dilantik menerajui Lujnah Perpaduan Nasional PAS Pusat. Perpaduan Nasional dalam konteks pendekatan strategi menggunakan Kelab Penyokong PAS. Mereka dapat melihat dasar kita dengan lebih dekat setelah menjadi ahli kelab dan merekalah jentera kita bila berdepan musuh politik. Di Negeri Sembilan kita berjaya menubuhkan Pusat Khidmat PAS di bawah kelolaan Kelab Penyokong PAS di sana.

Jangan kerana Deepavali lalu Islam dibenci

Assalamualaikum,

Ini pasal nak ucap deepavali. Saya tak tengok point argument Ustaz Fauzi kita di takaful, namun saya nak kongsi pandangan lah sikit. Isu ini sebenarnya harus diperincikan dengan halus mengambil kira hukum asal dan hukum cabangan serta fiqh waqie yang kita hadapi.

1. Kalau Deepavali dianggap sama macam Raya Eidul Fitri ka Eidul Adha memanglah jelas hukumnya haram kerana perayaan dalam Islam adalah perintah Tuhan. Saya kira penganut lain juga tak mahu nilai raya mereka disamakan dengn mana mana raya lain.

2. Cabangan dari masalah itu ialah bolehkah kita mengucap sambutan raya agama lain? Dalam hal ini prinsip Islam dalam hubungan dengan agama lain ialah hormat menghormati disebalik keyakinan kebenaran agama kita (mereka pun macam tu gamaknya) dengan syarat mereka tidak memerangi dan membenci kita (kalau ada be specific) Tanda menghormati ialah menghormati perayaan mereka kerana itu hak agama dia. Terpulanglah untuk kita mengikut keperluan dan keadaan bagi menjamin keterbukaan Islam untuk ucap atau tidak, ziarah atau tidak. kalau tak perlu maka ia berakhir di situ sahaja. (Setengah kita yang sibuk bincang ini mungkin jirannya atau kawannya yang beragama Hindu pun tak ada, apa guna bincang?)

3. Kenyataan di atas tidak bertentangan dengan sikap Nabi kepada agama lain. Nabi tidak mengucapselamat menyambut hari Lat atau U'zza kerana memang tidak ada perayaan itu. Tapi Nabi dilarang oleh ALLAH untuk mengutuk Tuhan-tuhan musyrikin kerana tidak mahu menimbulkan fitnah kepada kemuliaan ALLAH.

4. Perayaan Deepavali atas apa sejarahnya adalah hak mutlak mereka. Islam hanya melarang jika mereka menzahirkan kebencian mereka dan memerangi kita. Adakah orang India di Malaysia secara umumnya menentang dan membenci secara zahir Islam. Kalau ada kes kes tertentu ia perlu dilayan seara individu dan tidak boleh pukul rata kerana ini akan menimbulkan fitnah lebih besar terhadap agama Islam.

Jangalah kita hendak mengeraskan barang apa yang Allah peringankan kepada umat ini. khusus juga kepada mereka yang memberi pendapat, beramanahlah dengan ilmu dan dalamilah maksud Fiqh yang sebenar seperti kata SufyanAtthawri:

Sebahagian makna fiqh ialah menghubungkan antara hukum asal dan realiti, jika fiqh itu hanya menghukum dengan hukum asal mudahlah dilakukan oleh sesiapapun.

http://n32.blogspot.com/2006/10/jangan-kerana-deepavali-lalu-islam.html

"Mengapa tidak berani cabar pandangan sendiri"

MAJLIS PAS di premis-premis milik masyarakat Cina bukan lagi perkara pelik atau menjadi fenomena luar biasa di mata umum, kehadiran pemimpin dan ahli-ahli PAS dengan memakai jubah, serban dan kopiah putih ke tokong atau dewan komuniti kaum Tiong Hwa seperti di Ipoh, Taiping, Klang, pulau pinang atau di Kuala Lumpur memperlihatkan masyarakat Cina khususnya boleh bersifat terbuka terhadap PAS walaupun parti itu membawa imej Islam dan sering digambarkan sebagai ekstrim, jumud dan pelbagai label negatif lagi. Untuk mendapatkan gambaran yang lebih dekat tentang perkembangan tersebut, wartawan Siasah, HAFIZ MOHD BAQI menemubual pengerusi Lujnah perpaduan PAS, Mujahid yusuf yang menjadi tonggak kepada badan terpenting PAS dalam usaha merapatkan parti itu dengan masyarakat berbilang kaum dalam negara ini.

Bagaimana saudara melihat bentuk perpaduan kaum dalam negara ini setelah negara mencapai kemerdekaan 49 tahun?

Ada beberapa pencapaian yang membanggakan namun dari sudut mind set perpaduan itu masih lagi belum mencapai tahap kematangan. Maksud mind set ialah masyarakat majmuk di Malaysia ini masih dalam mentaliti kaum masing masing dan setiap kaum masih mencurigai kesinambungan identiti mereka sehinggakan setelah kita merdeka isu perkauman masih lagi menjadi agenda parti-parti perkauman yang kadang-kadang menimbulkan kekecohan.

Satu lagi masalah perpaduan ialah isu ini dieksploitasikan oleh pemimpin-pemimpin politik untuk mendapat simpati undi dan political mileage. parti-parti ini bergerak dalam kerangka perkauman yang sempit dan hanya mementingkan agenda kaumnya. Ini jelas kelihatan dalam Umno, MCA, MIC dan mungkin juga Gerakan. Seolah-olah negara kita ini dibahagikan kepada kek-kek yang dipelihara oleh penjaganya yang beridentitikan kaum masing-masing.

Lebih memburukkan pembahagian ini disalahgunakan oleh pemimpin-pemimpin politik dan golongan yang oportunis sehingga bahagian kek itu diramPAS oleh golongan-golongan ini, sebab itu ada istilah UMNOpUTRA dan bukan Bumiputra. Selagi budaya ini wujud dan amalan ini dan mind set ini tidak dihapuskan selagi itu perpaduan sebenar sukar dicapai. PAS dan BA mempunyai agenda besar mengubah mind set yang berakar umbi ini.

Sebagai salah seorang pemimpin PAS yang finggal di pulau pinang, akhir-akhir ini hangat diperkatakan tentang nasib Melayu negeri itu yang terpinggir. Malahan faktor perkauman turut dunainkan dalam isu itu, apa komen?

Isu Melayu pulau pinang bukan baru malah ia menjadi hidangan pemimpin politik sepanjang zaman. Mungkin isu ini sentiasa menjadi back-up bagi golongan tertentu dalam keadaan terdesak maka isu ini bangkit. Saya agak pelik kerana isu ini sering dibangkitkan semasa Umno berada dalam krisis dalamannya dan semasa Umno hangat bermesyuarat Agung, kemudian isu ini akan senyap dan hilang untuk timbul lagi sebagai back-up isu.

Walau apa pun isu Melayu pulau pinang ada meritnya. Mungkin salah satu sebabnya ialah Ketua Menteri pulau pinang dari Gerakan adalah Ketua Menteri pulau dan bukan Ketua Menteri Seberang, kerana semua tumpuan pembangunan di pulau dan tidak di Seberang di mana orang Melayu lebih ramai. Mungkin dia lupa pulau pinang adalah meliputi pulau dan Seberang.

Kedua ialah pemilikan tanah bagi Melayu di Pulau Pinang rendah dan pembangunan yang pesat menyebabkan Melayu terpinggir. Tanah diambil dengan pampasan yang rendah, nak beli rumah flet pun susah, akhirnya lari ke Seberang Perai. Tahap pendidikan dan pencapaian akademik orang Melayu Pulau Pinang juga menjadikan mereka sukar bersaing di pasaran buruh negeri ini yang menjadi pusat industri, oleh itu orang Melayu lebih banyak bekerja di kilang sebagai operator dan bukan di bahagian pengurusan.

Salah satu lagi faktor dan ini agak penting iaitu kelemahan agensi kerajaan yang menjadi penghubung dengan pemerintahan pusat bagi memajukan orang Melayu pulau pinang. Dari jawatankuasa pemandu Bumiputra, PERDA dan lain-lain yang tidak memaksimakan kuasa yang ada untuk memajukan orang Melayu Pulau Pinang. Lebih buruk daripada itu, jawatankuasa ini lebih banyak dipolitikkan daripada menjalankan tugasnya dengan cara profesional.

PAS menyatakan masalah ini sejak sekian kalinya dan Melayu pulau pinang mesti dibantu bukan kerana mereka Melayu tetapi keperluan mengimbangi struktur masyarakat yang menjaminkan keadilan sosial. Oleh itu bagi memenuhi keadilan sosial ini usaha yang lebih ikhlas diperlukan, bukan bantuan berbau perkauman dan politik sempit golongan opportunis kaum.

Mengenai Lujnah Perpaduan Nasional (LPN ) yang dipengerusikan oleh sdr, mungkin tidak ramai yang mengenalinya, boleh terangkan serba sedikit mengenai lujnah ini?

Lujnah ini awalnya dikenali sebagai Lujnah Hubungan Antara Kaum (HAK) kemudian dikenali sebagi JAYA iaitu Jabatan Antara Budaya dan kini ia dikenali sebagai Lujnah Perpaduan Nasional. Sudah tentu nama-nama itu membayangkan kefahaman kita kepada kerja asas lujnah ini dan keperluan semasa. Nama Lujnah perpaduan Nasional lebih menggambarkan komitmen PAS sebagai elemen penting membina perpaduan semua kaum bagi membentuk masyarakat Malaysia yang unik.

pendekatan strategik yang pernah dilakukan ialah penubuhan CCC iaitu Chinese Consultative Council sehingga kita pernah meletakkan calon-calon dari CCC bertanding atas tiket PAS. Program PAS waktu itu merentangi semua kaum dan PAS berjaya memecahkan tembok tebal antaranya dan kaum Cina. Namun CCC tidak dapat diteruskan sehinggalah pada tahun 1999. Pendekatan PAS kepada kaum Cina mendesaknya untuk menubuhkan platform mendekati kaum lain. Berlatarbelakangkan ini maka Kelab penyokong PAS ditubuhkan dan semasa saya diberi amanah memegang LPN saya telah memupuk dan membina konsep ini untuk menjadi kenyataan di seluruh tanah air maka kini di bawah LPN kita berjaya menubuhkan Kelab penyokong PAS di seluruh negara.

Kelab penyokong di peringkat pusat kini sangat aktif dan matlamat kami adalah untuk menjadi jambatan antara PAS kaum lain melalui inovasi-inovasi yang lebih terbuka dan mesra. Bahkan usaha ini menimbulkan kesedaran ahli tentang perlunya PAS meletakkan agenda semua kaum dalan manifesto politiknya dan aktivitinya. Kami juga mendidik pendekatan politik yang sesuai kepada semua ahli PAS melalui seminar-seminar yang kami anjurkan antaranya ialah seminar memaksimakan sokongan pengundi Bukan Melayu. Alhamdulillah kami telah menjelajah seluruh negara untuk tujuan tersebut.

Peranan LPN?

Menjadi perantara strategik untuk matlamat perpaduan nasional dan kami juga memberi input dalam dasar perpaduan yang akan menjadi manifesto parti untuk rakyat Malaysia. Dalam keadaan mamuk Malaysia, LPN menjadi penting apatah lagi hasrat PAS untuk membina masa depan negara melalui perjuangan politiknya dengan rakan-rakan BA.

LPN sebelum ini hanyalah satu Lujnah tetapi kini saya telah berusaha membawa identiti LPN sebagai Lujnah asas yang penting untuk membentuk input dan pengaruh mengubah mind set perpaduan hatta dalam PAS sendiri, saya menganggap peranan LPN juga bersifat catalyst kepada perubahan dalam dan luar PAS. Ini sudah tentu besar, namun untuk menerajui perubahan dalam negara kita, kita kena berubah dulu untuk kadang-kadang mencabar apa yang kita anggap betul selama

ini.Dalam usaha PAS untuk mendekatkan diri dengan kaum bukan Islam dengan menubuhkan badan seperti CCC, HAK dan kini LPN. Kalau dilihat kesannya, tidak nampak ia banyak membantu PAS khususnya di waktu pilihan raya dalam meraih sokongan bukan Islam. Sebenarnya apa yang berlaku, adakah kerana PAS lebih banyak berpolemik?

Semua itu adalah pengalaman dan trial and error. Kita harus melihat ke hadapan untuk sentiasa mencuba. Kita akur bahawa pengaruh undi banyak bergantung kepada isu dan bukan inovasi. Namun kita tak boleh menanti isu, kita harus mengurus isu, jika inovasi kita menjawab isu-isu semasa pilihanraya maka ia satu bonus jika tidak kita telah berusaha oleh itu ketepatan innovasi mengikut landasan strategi kita adalah penting. Tetapi saya ingin menegaskan bahawa pengundi bukan Melayu juga genuine dalam melihat masa depan negara, mereka juga mahukan masa depan yang adil dan bersih dari korupsi, merekalah sandaran kita kerana kita berkongsi cita-cita dan harapan, golongan ini adalah pengundi setia kita. LPN hanya perlu membanyakkan golongan ini sebagai pengundi potensi kita.

Satu hal yang diperhatikkan juga ialah usaha-usaha PAS mendekatkan diri dengan kaum kaum lain, PAS hanya berkisar dalam bentuk program seperti meraikan majlis perayaan, mengadakan program makan-makan atau melalui dialog-dialog yang dianjurkan. Sedangkan dari aspek lain seperti pembelaan terhadap kaum Cina dan India yang tertindas di estet atau di kilang-kilang oleh majikan mereka, PAS nampaknya agak terkebelakang berbanding badan-badan lain. Mengapa keadaan ini berlaku?

Saya setuju kita masih jauh, namun LPN melalui Kelab penyokong PAS dan gandingan dengan NGO lain melihat permasalahan rakyat merentasi kaum. Saya rasa program hanyalah landasan, real politics ialah menjawab permasalahan di akar umbi. Saya pula secara peribadi berusaha untuk melonjakkan konsep perjuangan semua bangsa ini melalui kaedah praktikal dengan melihat nasib semua kaum, seperti juga pemimpin lain seperti Dr Rosli, Dr Hatta contohnya yang bekerja keras merentangi semua kaum. Kelemahan kita menangani isu merentasi kaum ini ialah kerana pemimpin PAS masih merasakan mereka hanya pemimpin untuk golongan tertentu sahaja. Perkara ini harus berubah untuk melayakkan PAS menjadi aspirasi nasional. Kami sedang gigih mengatasi maslah-masalah ini.

Masalah besar menjadi penghalang antara PAS dengan masyarakat bukan Islam termasuklah isu negara Islam itu sendiri, hukum hudud dan hukum orang murtad menjadi fobia kepada orang bukan Islam. Satu hal lagi, media nampaknya memburukkan lagi keadaan. jadi bagainama sdr menghadapi situasi ini dalam rangka membentuk hubungan PAS dengan masyarakat bukan Islam ini?

Sememangnya kerumitan itu wujud namun kita harus menghalusi semua itu dalam perspektif yang tepat. Contohnya isu Negara Islam mesti dijelaskan dalam bentuknya yang isi atau substantive bukan kerangka atau constructive. Dengan kata lain mesti ditunjukkan nilai nilai itu bukan disyarahkan. Begitu juga mafhum Negara Islam itu mestilah sesuai dengan keadaan semasa dan tuntutan semasa dengan tidak meletakkan bentuknya yang rigid. Soal murtad pula mesti dibawa ke meja dialog untuk menjelaskan berbagai aspek yang masih keliru. Adanya soal hukum, soal undang-undang dan paling penting ialah ruh yang membentuk perlembagaan dan masyarakat hari ini di mana Islam adalah asasnya.

Kefahaman ini tak selesai hanya melalui demonstrasi, ia perlu juga diselesaikan melalui dialog yang sihat dan terbuka. Adapun media ia satu perjuangan yang jauh untuk membetuli keadaan buat masa ini. PAS harus menggunakan cara terbaik untuk menyampaikan mesej kita.

Secara peribadi adakah saudara melihat sebuah parti yang membawa agenda negara Islam secara jelas dan terang-terangan merupakan satu pendekatan praktikal dalam konteks yang politik Malaysia?

Negara Islam bukan agenda politik, ia adalah keyakinan semua muslim. Kita tak boleh menolaknya semata-semata kerana ia merugikan kita. Yang perlu diamati ialah bagaimana keyakinan ini diperhalusi dan diolah dalam kerangka perlembagaan negara supaya ia menjadi praktikal. Masalahnya ialah kita tak boleh berhadapan dengan rakyat dalam bahasa yang tidak difahaminya.Falsafah PAS mesti diolah dalam kerangka bahasa yang difahami oleh semua orang dan mesti dilihat menjadi jambatan membentuk masa depan untuk semua kaum. Kita tak boleh terasing semata-mata kerana falsafah kita tak difahami oleh orang ramai, kita mesti bersama-sama kerenahrakyat dan pada waktu yang sama memahamkan mereka melalui interaksi praktikal dan bukan hanya syarahan dan ceramah tentang negara Islam. Itulah praktikaliti perjuangan PAS dan ia memerlukan lonjakan yang besar untuk mengubah persepsi oran ramai terhadap PAS.

Bagaimana pula dengan penampilan dan pendekatan pemimpin PAS khususnya golongan ulama dikatakan agak rigid dan menakutkan orang bukan Islam untuk mendekati PAS, ramai berpersepsi seperti ini, malahan ia merupakan antara analisis akademik mengenai kegagalan PAS atau pemimpin PAS. Mungkin sdr boleh komen perkara ini?

Penampilan imej ada dua. Satu fizikal satu lagi pemikiran. Bagi saya penampilan pakaian penting, namun yang lebih penting ialah pemikiran dan tindakan. Jika berserban dan berjubah tetapi mempunyai daya pemikiran yang maju dan menjadi aspirasi lebih baik daripada berpakaian tali leher dan kot tetapi kolot dalam pemikiran dan tidak berdaya maju.

Bagi saya pemikiran dan world view kita kepada medan politik yang diceburi dengan memahami bentuk mukabumi yang dipijak adalah penting yang akan menentukan cara kita berfikir dan bertindak dan apa yang diucapkan. Mastering the context bukan mudah, ia memerlukan fleksibiliti, keterbukaan dan kreativiti namun pada waktu yang sama tidak lari dari prinsip. Saya rasa ini adalah seni yang memerlukan kesabaran dan sentiasa mencuba yang terbaik. Jika kita berjaya membentuk pemikiran yang tinggi ini maka tohmahan ke atas ulama atau bukan ulama tidak timbul, yang timbul ialah ahli PAS yang memahami realiti politiknya dalam kerangka dasar yang diperjuangkan. Saya tahu ia sukar namun inilah cabaran mendatang PAS di masa hadapan. Generasi ketiga PAS mesti membawa seni pemikiran ini.

Kalau tidak salah ada pandangan-pandangan daripada saudara sendiri sebelum ini yang menyebuttentang era kepimpinan ulama harus memasuki fasa baru bolehjelaskan?

Ya, fasa baru yang membawa pemikiran tajdid dalam rumusan feqah mereka kepada suasana yang ada. Kepimpinan ulama sudah menjangkau 23 tahun, banyak yang berubah, adakah kita masih dalam pemikiran yang lampau tanpa melihat masa depan yang mencabar? Pandangan dahulu tak sama dengan perkembangan baru, ij'tihad dulu mungkin tidak sesuai hari ini, semua ini ada dalam bab ij'tihad. Mengapa kita tidak berani mencabar pandangan kita sendiri? Bukankah pandangan kita hanya alat untuk mencari yang terbaik? Jika ada yang lebih baik mengapa harus pegang kepada pandangan kita? Semua ini hanyalah ijtihad politik yang tidak menyentuh prinsip dan asas kita.

Atas dasar ini saya yakin dan menegaskan kepimpinan ulama perlu memasuki fasa baru yang lebihdinamik. Lebih buruk kepimpinan ulama disalahertikan atau sengaja disalahertikan kerana selesa dengan keadaan dan takut mengambil risiko untuk membuat perubahan.

Menyentuh sedikit mengenai cadanngan supaya PAS menerima keahlian bukan Islam yang pernah dicetuskan PAS sebelum ini. Secara peribadi adakah sdr setuju dengan idea tersebut?

Ini isu sensitif kerana melibatkan isu perlembagaan yang perlu dirombak dengan persetujuan muktamar. Soalannya ialah keperluan, adakah keadaan mendesak sehingga tahap itu? Ataukah untuk please bukan Islam? Bukan soal hukum kerana perkara ini termasuk dalam perkara ij'tihad dan bukan putus. Saya lebih menerima atas keperluan. Biarlah jambatan ini dibina dulu sebelum pintu dibuka. Secara peribadi keadaan belum memerlukan.

Sehingga kini belum menampakkan sebarang perkembangan mengenai keahlian bukan Islami walaupun idea itu sudah agak lama dicetuskan, mengapa?

Ya, ada. Antaranya kita bersetuju untuk meletakkan calon bukan Islam atas tiket PAS, ini adalah perkembangan yang positif.

Selain daripada halangan perlembagaan PAS sendiri yang perlu dipinda terlebih dahulu untuk merealisasikan idea tersebut mungkin masih ada halangan-halangan lain seperti faktor politik atau sebagainya...?

Ya, ada faktor strategik, struktur, politik dan keperluan.

Akhirnya, sebagai pengerusi LPN boleh saudara mengulas mengenai program kongsi raya yang diharamkan oleh mufti baru-baru ini?

Kongsi raya ini disalahertikan secara meluas. Pertama ia melibatkan keyakinan bahawa perayaan Islam sama dengan perayaan lain, ini jelas hukumnya haram kerana merendahkan perayaan yang disyariatkan oleh Allah. Kedua, fatwa ini tidak mengharamkan hormat menghormati dan ziarah menziarahi. Ramai yang salah anggap dan tak dapat berbeza antara dua perkara ini. Ziarah untuk menambatkan hubungan tidak menjejaskan keimanan dan tidak timbul merendahkan martabat Islam. Ini perlu dijelaskan dan soalan ini diharapkan dapat kefahaman yang sebenarnya oleh ahli PAS.

Islam sebagai ideologi politik: Sejarah Perkembangrannya dalam Gerakan Islam moden

Oleh Mujahid Yusof Rawa : (Bahgian 3)Harakah:1302/1 - 15 Jan 2006

Lahirnya regim selepas merdeka di kalangan negara Islam yang bersikap musuh kepada parti Islam dan gerakannya menyaksikan `zaman tribulasi' di mana gerakan Islam ditindas dan aktivisnya ditahan dan disiksa dalam penjara-penjara gelap regim diktator.


Bacalah sejarah Ikhwan kita akan dapati kebanyakan penulisan pemikirnya dan aktivisnya ditulis dalam suasana kuku besi pemimpin Islamnya sendiri.


Kesan psikologi penulisan pada era `mehnah' ini melahirkan istilah-istilah keras seperti Modern Idols' (berhala moden), `Tyranny Leaders' (pemimpin Taghut), `Kufr Nidzam' (sistem Kufur) dan batas-batas Iman dan kekufuran didedahkan tanpa kawalan.


Seluruh dunia Islam tidak menjanjikan kebebasan kepada parti Islam dan gerakan Islam malah pada saat mereka mengecapi kemerdekaan dari penjajah, gerakan Islam terus dijajah oleh regim tempatan dan sekali gus istilah Daulah terus berada di penjara-penjara tanpa ia dapat didengari dengan penuh keadilan.


Pengolahan Danlah IslamKemunculan istilah Daulah Islam walaupun baru tetapi ia paling banyak mendapat perhatian para ulama dan pemikir Islam dengan cara mengemukakannya dalam buku dan penulisan mereka.


Seperti yang telah diterangkan di awal penulisan ini, istilah Daulah ialah istilah yang dikompromikan istilah asalnya iaitu Khilafah Islamiyah yang telah menerima nasibnya dari sudut keberadaan-nya pada tahun 1924.


Apa yang tinggal selepas dari itu ialah Falsafah dan Konsep yang kemudiannya cuba diadaptasikan dalam kerangka nation state atau negara bangsa.


Sudah tentulah percubaan ini bukan sesuatu yang mudah memandangkan kepada sukarnya para ulama dan pemikir Islam meletakkan satu konsep dalam kerangka yang asas negaranya ialah bangsa dan asas perundangannya adalah dwi perundangan dan asas masyarakatnya adalah liberal madani.


Kesukaran ini telah melahirkan berbagai olahan tentang bagaimana konsep Daulah ini tetap boleh diperakui sebagai ideologi sebuah negara nation state.


Berasaskan kepada premis ini lahirlah dua ekstrim pemikiran yang berpegang kepada idea yang menolak segala landasan politik yang ada kerana menganggapnya sebagai Kufrun dan Islam hanya boleh ditegakkan melalui dakwah dan amar makruf.


Apabila manusia memahami tuntutan Islam maka Daulah akan tertegak dengan semua akan menerimanya.


Bahayanya fahaman ini ialah kelompongan dan kekosongan landasan politik boleh mengheret pengamalnya kepada fatwa penghalalan darah saudara muslim dan yang bukan muslim serta mengambil tindakan mengikut acuan sendiri yang membahayakan maslahat umum Islam itu sendiri.


Ia mudah diheret kepada sikap militan untuk mencari jalan singkat melalui tindakan keganasan yang titik tolaknya mesti lahir dari kebencian kepada sesiapa sahaja yang menentangnya.


Manakala pada satu ekstrim pula lahir sikap `beralah' kepada keadaan lalu mengambil jalan mudah memperakui suasana yang ada dan menganggap selagi mana ada istilah Islam dan sedikit peruntukan Islam dalam sesebuah negara maka ia dianggap sebagai negara Islam tanpa perlu kita mendalami apakah ciri-ciri Daulah Islam itu terlaksana atau tidak.


Bahayanya fahaman ini membawa kepada kelonggaran fatwa dan bermudah-mudah dengan keruntuhan akhlak pemimpin Islam dan masyarakat sekelilingnya.


Antara dua ekstrim kekerasan dan kelonggaran ini lahir pengolahan-pengolahan yang tetap mendasari falsafah dan konsep politik Islam dengan bertunjangkan kekhilafahan sebagai asasnya namun secara realitinya cuba melihat perlaksanaannya dengan cara praktikal keadaan dan suasana.


Pengalaman Ruang KebebasanPenulisan ini akan memfokuskan usaha pengolahan ini dengan melihat perkembangan politik semasa dunia Islam dan usaha yang telah dijalankan bagi membolehkan konsep daulah ini terlaksana kesemuanya ataupun sebahagiannya.


Ia ada kaitan dengan perkembangan politik kerana pemikiran ini sama sekali tidak membelakangi kerangka sistem yang ada bagi membolehkannya membawa idea ini.


Cuma yang membezakannya ialah sejauh manakah kadar kebebasan yang dimiliki oleh pengamal pemikiran ini selagi diizinkan oleh sistem politik yang berkuasa pada hari itu.


Perlu diingatkan bahawa pada waktu regim pemimpin tempatan menindas gerakan Islam selepas kemerdekaan, tekanan kepada ruang kebebebasan bersuara turut memaksa regim-regim ini sama ada digulingkan atau diganti dengan janji sedikit kebebasan kepada rakyat untuk bersuara.


Walaupun kebebasan ini lambat dinikmati oleh aktivis Islam kerana mereka yang akhir keluar dari penjara setelah golongan lain dibebaskan dahulu, namun akar umbi yang kukuh dan iklim kebangkitan Islam yang menguasai pesada politik antarabangsa mempercepatkan proses penerimaan semula masyarakat kepada ideologi politik Islam yang dibawa oleh gerakan Islam.


Khusus pada kemenangan revolusi Islam Iran pada tahun 1979, kemampuan politik Islam dalam konteks sebuah Daulah membuktikan ia boleh ditegakkan dan mampu mencabar sistem yang menentangnya selama ini.


Kebebasan yang ada pada waktu itu diambil kesempatan oleh gerakan Islam yang mula menonjolkan entiti politiknya sebagai peserta pilihan raya dan mampu pula memenangi beberapa kerusi dan menjadi calon-calon favourite rakyat.


Pengalaman awal ini memberi keyakinan bahawa dengan memberi mereka peluang dan dengan kekuatan ideologi dan peribadi Islam yang dimiliki oleh tokoh-tokoh parti Islam sudah tentu pasti pesaing mereka dari parti politik sekular akan mengalami kesukaran untuk menang dalam pilihan raya.


Dalam negeri yang majoritinya adalah Muslim yang mempunyai sejarah yang panjang istilah Daulah Islam tidaklah pelik dan menggerunkan.


Keterlibatan aktivis Islam secara politik dan ruang kebebasan yang ada menjadikan sebutan Daulah Islam sebagai cliche yang mula diterima orang ramai.


Pengolahannya kini bukan hanya konsep dan teori tetapi diformulasikan supaya terlaksana dalam kerangka undang-undang dan dasar-dasar serta memperkukuhkan peruntukan-peruntukan Islam yang sedia ada.


la menjadi slogan kepada permasalahan rakyat yang selama ini diharamkan dari semua sudut kemajuan kerana korupnya regim-regim yang terdahulu.


Politik Penyertaan (Participative Politics)Sambutan yang menggalakkan daripada era keterbukaan terhadap ideologi politik Islam, juga telah meletakkan aktivis politik Islam mengorak satu langkah ke depan yang berani iaitu kesediaan mereka untuk menyertai kerajaan sekular yang ada dan sedia berkongsi kuasa (power sharing).


Pengalaman ini besar maknanya kepada retorik Daulah Islam kerana ruang yang lebih selesa untuk mereka mengisi kerangka sebuah negara dengan ideologi politik Islam yang mereka


perjuangkan.Pembukaan pintu pemerintah sekular kepada gerakan Islam dengan nama `aslamiyah' atau penerapan Islam kepada dasar pemerintahan dan pentadbirannya meletakkan penulis dan pemikir Islam terpaksa mengolah bagaimana ia boleh dilaksanakan dalam satu pemerintahan yang sekular.


Di sini lahirnya pendekatan "tadarruj" iaitu perlaksanaan Islam dalam negara mengikut ke rangka penyertaan ini mestilah secara berperingkat-peringkat supaya matlamat yang lebih besar iaitu menjadikan ia Daulah Islam akan tercapai, sebarang bentuk perlaksanaan yang `istijal' tergesa-gesa hanya akan membantutkan usaha murni ini.


Perlu diingatkan pada waktu pengalaman ini mula diterima oleh gerakan Islam, sebahagian gerakan Islam atas pemikiran yang sama menolak sebarang komplot bersekongkol dengan regim sekular, mereka lebih minat meneroka bidang Tahaluf Siyasi dengan parti-parti non-Islam yang lain dalam gabungan politik yang membolehkan mereka menjadi lebih kuat di Parlimen untuk menyuarakan aspirasi perjuangan mereka.


Kebangkitan Politik IslamPengalaman era keterbukaan di merata dunia Islam secara nisbinya membuka ruang untuk kebangkitan golongan Islam di pesada kuasa.


Strategi politik dan kerapuhan regim yang sedia ada serta semangat anti neo-kolonialisme Barat telah memberikan laluan mudah kepada golongan Islam menguasa pesada politik.


Aspirasi Daulah yang mereka perjuangkan nampaknya lebih mudah untuk dilaksanakan melalui rang undang undang yang berada di tangan mereka.


Bahagian pelaksanaan kepada retorik yang dilontarkan kepada masyarakat yang mahu mereka lakukan sekarang menjad milik mereka.


Kebangkitan ini menyaksikan hak legislatif dirombak, dipinda diganti dan disesuaikan dengan aspirasi daulah yang mereka perjuangkan selama ini.


Penegasan daulah bukan hanya di kertas tetap dilaksanakan dalam hak legislati yang dikuasai oleh pro-Islam.


bersambung keluaran akan datang