Tuesday, April 10, 2007

Isu pecat Mufti: Lajnah Perpaduan Nasional minta semua pihak bertenang

Mohd Sabri Said
Thu | Apr 05, 07 | 03:50:11 PM
GELUGOR, 5 April (Hrkh)- Semua pihak diminta bertenang ketika berhadapan isu resolusi parti Gerakan Wilayah Persekutuan yang mendesak agar Mufti Perak, Dato' Harussani Zakaria dipecat kerana dikhuatiri ia akan menimbulkan kekeliruan umum dan memberi ruang kepada pihak-pihak tertentu meraih keuntungan politik.

Mengulas resolusi yang diluluskan konvensyen Gerakan Wilayah Persekutuan pada 1 April lalu, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Ustaz Mujahid Yusuf Rawa mahu kontroversi itu diselesaikan menerusi rundingan.

Bercakap dalam satu sidang media di Pejabat Save Our Self (SOS) semalam, beliau menasihati orang ramai agar tidak cepat melatah dengan provokasi Gerakan sebaliknya mengambil sikap yang rasional dan mengutamakan perbincangan.

"Semua pihak jangan melatah sebaliknya bertenang dalam isu memecat Mufti Perak, Dato' Harussani Zakaria. PAS khususnya Lajnah Perpaduan Nasional bersedia untuk berunding atau berbincang bagi membantu masa depan negara yang memerlukan perubahan politik untuk menyakinkan semua bangsa," tegasnya.

Menurutnya, dalam isu ini parti Gerakan dilihat menyentuh dua perkara utama yang berkait terus dengan persoalan kebebasan beragama dan kedudukan Mahkamah Syariah.

Parti kompenan BN itu juga, jelas beliau telah lari daripada perbahasan yang objektif dan sihat kerana menyentuh kedudukan raja-raja dan Sultan yang menaungi kuasa melantik dan memecat mufti.

Menurutnya, semua warga Malaysia yang taatkan negara perlu memahami kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan negara.

Kedudukan istimewa Islam dalam Perlembagaan negara, jelasnya bukan satu penafian kepada agama-agama lain yang dianuti rakyat tetapi sebagai menghargai sejarah susur galur dan peranan Islam dalam pembentukan negara.

Sehubungan itu, tambah beliau, Perkara 11 Perlembagaan menjamin kebebasan beragama kepada rakyat.

"Interpretasi kepada perkara 3(1) dalam kes mahkamah jelas menunjukan perspektif yang berbeza-beza namun hingga kini doktrin duluan tidak pernah menjadi alasan penghakiman.

"Oleh itu, walaupun ada cabaran kepada kehendak perkara 3(1) dalam Perlembagaan namun status Islam dalam rujukan keputusan hakim terbukti memberikan kedudukan yang utama sebagai agama Persekutuan," terang Mujahid.

Beliau juga tidak dapat mempastikan sama ada resolusi parti Gerakan Wilayah Persekutuan itu berhasrat mempertikaikan perkara 3(1) yang termaktub dalam Perlembagaan.

"PAS bimbang isu ini sengaja di gemburkan untuk menimbulkan kemarahan orang Islam terhadap orang bukan Islam ekoran kejayaan PAS mendekati kaum lain menerusi Kelab Penyokong PAS.

"Apa yang dibimbangkan, BN mempunyai matlamat ketika melemparkan isu ini menerusi Gerakan semata-mata mahu memecahkan usaha murni PAS dan pembangkang ketika hampir tarikh pilihan raya umum ke-12," jelasnya yang juga Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Negeri Pulau Pinang.