Sunday, October 30, 2005

Mujahid: PAS ketandusan pelan warisi kepimpinan

oleh: Arfa’eza A Aziz May 19, 05 6:19pm
sumber - Malaysiakini.com

PAS kini berdepan dengan satu masalah besar – Parti Islam itu sukar mencari pemimpin yang boleh menjadi timbalan yang paling layak kepada Presiden sekarang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dalam satu wawancara dengan malaysiakini baru-baru ini, Exco Pemuda PAS yang dikenali lantang bersuara, Mujahid Yusuf Rawa menegaskan bahawa pemergian presiden PAS yang lalu, Datuk Fadzil Noor pada tahun 2002, begitu amat dirasai oleh parti itu.

Katanya, kehilangan Fadzil merupakan satu kejutan kepada parti kerana beliau pergi di tengah-tengah usahanya untuk membawa parti melonjak ke hadapan.

Menurutnya, sebagai timbalan presiden, Hadi telah mengambil alih jawatan presiden yang ditinggalkan oleh Fadzil tetapi pada masa yang sama, ianya telah meninggalkan satu ‘ruang kosong’ dalam kepimpinan tertinggi parti.

“Dan apabila kita melihat ke bawah, tidak ada seorangpun – yang mengikut standard PAS – yang dirasakan sesuai dan layak untuk mengisi kekosongan tersebut. Mereka mahu ia diisi oleh seorang ulama yang dapat diterima oleh semua pihak,” katanya.

Menurut Mujahid, keadaan menjadi lebih teruk lagi apabila timbul keadaan di mana pemimpin-pemimpin lama masih belum bersedia untuk menerima pemimpin muda, yang menurut mereka, belum layak untuk memegang jawatan tinggi parti.

Melobi Haron Din

Berikutan itu, katanya, munculkan usaha melobi pakar perubatan tradisional terkemuka Datuk Dr Haron Din supaya bertanding jawatan timbalan presiden menentang Senator Hasan Sukri dalam muktamar parti bulan depan.

Haron (kanan) kini memegang jawatan timbalan mursyidul am dan ketua penerangan PAS.

“Saya rasa, itulah sebabnya mengapa ramai ahli yang mahu Datuk Haron (bertanding) kerana beliau dilihat sebagai calon yang paling sesuai (sebagai timbalan presiden),” kata Mujahid, yang merupakan anak bekas presiden PAS, Yusuf Rawa.

“Hadi memerlukan seorang timbalan yang kuat yang boleh menyokong beliau membawa imej baru PAS. Siapa yang menjadi timbalannya adalah tidak penting. Yang penting ialah sama ada orang itu mampu membawa perubahan yang dikehendaki oleh parti. Bolehkah dia membantu Hadi melakukan perubahan yang diperlukan itu?” katanya.

Menurut Mujahid, perdebatan hebat mengenai pemilihan parti tercetus kerana ketandusan perancangan berhubung proses mewarisi pucuk pimpinan tertinggi parti.

“Salah satu masalah utama parti yang dibangkitkan oleh Pemuda, ialah kurangnya perancangan mengenai proses penggantian pucuk pimpinan...mengenai siapa yang akan menjadi pengganti, langkah-langkah yang perlu diambil (ke arah itu), ciri-ciri dan kelayakan pemimpin. Ini tidak diperluaskan. Kita tidak boleh membiarkannya begitu sahaja kerana proses penggantian pemimpin akan berlaku juga,” katanya.

Beliau juga percaya bahawa agenda untuk perubahan yang dikehendaki oleh para perwakilan di muktamar lalu, tidak diambil serius oleh pucuk pimpinan parti.

“Maka, itulah sebabnya mengapa pemilihan pucuk pimpinan baru sangat penting. Barisan kepimpinan baru adalah sangat penting,” tegasnya sambil menegaskan bahawa hanya pemimpin-pemimpin baru yang dapat menjamin bahawa perubahan yang dikehendaki itu akan menjadi kenyataan.

Sikap tidak bertolak ansur

Mujahid turut menyentuh mengenai kesukaran yang dihadapi Pemuda untuk mempelopori agenda perubahan – satu daripadanya ialah tentangan pemimpin lama parti yang merasa terancam oleh tindak-tanduk pemimpin muda dan idea-idea baru yang mahu diketengahkan.

“Bagi saya, cara terbaik untuk menguruskan pemimpin lama ini ialah dengan meyakinkan mereka bahawa kita – pemimpin Pemuda – mewakili generasi masa depan parti kerana kita yang akan mewarisinya nanti. Dan kita mahu mewarisi parti yang terbaik,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui proses itu bukan satu tugas yang mudah kerana pemimpin lama ini cenderung untuk menghakimi kemampuan pemimpin Pemuda berdasarkan pencapaian mereka setakat ini.

“Pemimpin lama ini lebih memberatkan soal pencapaian kita dan bukannya (mendengar) apa yang kita mahu. Inilah yang menyukarkan (kita) kerana pencapaian kami tidak banyak, kerana kami masih lagi baru. Mereka tidak boleh membuat perbandingan dengan pencapaian mereka kerana mereka sudah 30 tahun (bersama parti), sedangkan kami baru 10 tahun.

“Jadi tidak adil jika (asas) hujah mereka adalah berdasarkan kepada soal pencapaian. Mereka patut melihatkan kepada visi seorang pemimpin dalam parti, apa yang mahu dilaksanakannya, bagaimana dia mahu melakukannya pada masa depan...inilah yang patut dijadikan asasnya... daripada bertanya apakah pencapaian kami...,” tambahnya.

Pemimpin sedang naik

Mujahid menolak persepsi yang beliau merupakah salah seorang pemimpin yang sedang naik dalam Pemuda PAS, lebih-lebih lagi apabila diberitahu bahawa hasil tinjauan pendapat oleh Harakahdaily online, menunjukkan beliau merupakan calon utama untuk menduduki jawatankuasa kerja pusat parti.

Sehingga jam 2 petang semalam, tinjuan pendapat itu menunjukkan Mujahid di tempat teratas, dengan mendapat 37.22 peratus undi, untuk mendahulu calon-calon lain yang terdiri daripada penasihat undang-undang PAS, Mohamed Hanipa Mydin, Dr Dzulkifli Ahmad, Misbahul Munir, Khaled Samad, Mazlan Aliman dan Ahmad Yaakob.

“Saya tidak tahu sama ada kita boleh berpegang atau tidak kepada hasil tinjauan pendapat tersebut kerana keputusan sebenarnya berada di tangan para perwakilan yang datang dari semua kawasan, yang sebahagian besarnya tidak mempunyai akses kepada internet,” kata Mujahid.

Menurutnya lagi, barisan baru kepimpinan yang bakal dipilih dalam muktamar PAS bulan depan akan mencerminkan keseriusan para perwakilan untuk membawa perubahan dalam parti.

“Saya ingin mempercayai bahawa hasrat untuk membawa perubahan memang dirasai oleh ahli-ahli parti, tetapi jika tidak demikian halnya, itu akan diterjemahkan dalam pemilihan parti nanti.

“Jika para perwakilan percaya yang saya antara mereka yang boleh menyuntik semangat baru dalam jawatankuasa pusat parti, sudah tentu saya bersedia untuk berkhidmat untuk parti,” tambahnya.